WILAYAH - SELATAN > BERITA

Miliki Bahan Lucah: Suspek Culik Albertine Leo Direman Lagi

05/08/2024 12:30 PM

JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Lelaki yang disyaki menculik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, direman sekali lagi hari ini bagi membantu siasatan kes memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan bahan lucah.

Majistret Azureen Sahira Sauffe Afandi membenarkan reman selama enam hari terhadap lelaki berusia 31 tahun itu di Mahkamah Majistret Kulai.

Tempoh reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, suspek ditahan reman selama 13 hari bermula 23 Julai lepas sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Johor CP M Kumar dilaporkan berkata suspek kemudian ditahan semula semalam susulan penemuan pelbagai alat permainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.

Albertine Leo disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam, 20 Julai, di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri sebelum kanak-kanak itu ditemukan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada 4.45 pagi, 23 Julai lepas.

Polis menahan seorang lelaki yang dijumpai bersama mangsa bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan