WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pembunuhan Istiqomah: Polis Perak Akan Beri Kerjasama Bantu Siasatan

13/08/2024 12:54 PM

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Polis Perak akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang mayatnya ditemukan tanpa kepala dan kedua-dua tangan di Alor Gajah, Melaka pada Disember lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata walaupun kes itu membabitkan penahanan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor dekat sini pada 5 Ogos lepas, pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada Polis Kontinjen Melaka bagi membantu siasatan.

"Setakat ini bergantung kepada pegawai penyiasat di Melaka, kalau ada kaitan dengan Perak, sekiranya diminta untuk membantu, kita akan bantu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan mengesahkan bahawa mayat tanpa kepala dan tangan ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Dis lepas ialah mayat Istiqomah, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Beliau berkata polis telah menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun isteri suspek berusia 36 tahun yang turut direman bersamanya selama seminggu sejak 6 Ogos dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam perkembangan lain, Azizi berkata tiga individu termasuk seorang wanita ditahan minggu lepas dipercayai ahli sindiket along terbabit dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Ayer Tawar, Sitiawan, dekat sini.

Penahanan itu susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 20 tahun mengenai kejadian yang berlaku pada 12.30 tengah malam pada 8 Ogos lepas, tambah beliau.

"Kejadian berlaku semasa mangsa bersama keluarga dan dua rakannya sedang makan di rumah dan didatangi empat lelaki yang terus memukul mangsa di bahagian belakang badan dengan kayu dan menoreh di bahagian belakang badan mangsa dengan sebilah pisau.

"Mangsa pernah melakukan pinjaman sebanyak RM1,000 dengan sindiket along berkenaan. Mangsa bersama kakak, ibu serta dua rakannya mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, tangan dan kaki," katanya.

Azizi berkata pihaknya berjaya menahan seorang wanita dan dua lelaki berusia 20 hingga 33 tahun di Kampar dan Ayer Tawar dekat sini pada Jumaat dan Ahad lepas serta merampas empat buah komputer riba pelbagai jenama, sebuah iPad dan dua buah telefon bimbit.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan awal mendapati dua suspek lelaki yang ditahan itu mengaku bekerja sebagai pemungut hutang dan mereka enggan memberi kerjasama mengenai empat suspek terlibat dalam kejadian itu yang masih bebas.

"Sindiket ini akan mensasarkan warga tua dan pengusaha niaga kecil-kecilan di kawasan luar bandar di beberapa negeri seperti Perak, Pahang , Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 

"Pihak polis masih meneruskan tindakan mengesan empat suspek masih bebas dan sekiranya terdapat saksi yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pengawai penyiasat Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli di talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6899222," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan