WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Penolong Pengurus Bistro Didakwa Pecah Amanah Wang Syarikat Lebih RM38,000

13/08/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas penolong pengurus sebuah bistro mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat lebih RM38,000, tujuh tahun lepas.

Mohd Jazlie Naim Latiff, 40, yang ketika itu penolong pengurus didakwa melakukan pecah amanah wang hasil perniagaan berjumlah RM38,579.80 di sebuah bistro di Dang Wangi di sini antara 7 Jun sehingga 27 Jun 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mencuri wang sama pada lokasi, masa dan tarikh serupa, mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Sept untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan