WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TYT Dan Isteri Tetamu Khas Perasmian Sukma XXI Sabtu Ini 

13/08/2024 06:14 PM

KUCHING, 13 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah dijemput sebagai tetamu khas pada majlis perasmian Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 di Stadium Sarawak, Sabtu ini.

Astana Negeri Sarawak memaklumkan jemputan tersebut disampaikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga pengerusi jawatankuasa induk SUKMA Sarawak 2024 Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu kunjungan hormat hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee.

“Majlis perasmian SUKMA akan berlangsung pada Sabtu di Stadium Sarawak itu bakal disempurnakan oleh Tun Wan Junaidi,” menurutnya dalam satu kenyataan..

Sempena SUKMA XXI 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini, Bernama memperkenalkan laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21 kali ini.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan