WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua Pengarah JPJ Lawat Wisma Bernama, Jalin Hubungan Erat Dengan Media

13/08/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos  (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli hari ini mengadakan lawatan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan agensi itu mengeratkan hubungan dengan pengamal media.

Aedy Fadly berkata lawatan itu juga bertujuan mengeratkan kerjasama dengan pengamal media dalam menyalurkan maklumat berkaitan perkhidmatan, program dan meningkatkan imej jabatan berkenaan.

 “Kami mahu jadikan media sebagai sahabat JPJ dengan membantu menyebar luas sebarang program yang kita laksanakan dan melihat Bernama sebagai agensi media kerajaan yang boleh membantu,” katanya semasa lawatan itu.

Ketibaan beliau bersama delegasi JPJ pada 4.30 petang disambut oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz serta pegawai-pegawai kanan Bernama. 

Aedy Fadly kemudian dibawa melawat Jabatan Pengarang, Bernama TV, Bahagian Digital Media dan Bernama Radio serta diberikan taklimat berhubung operasi agensi berita itu secara keseluruhannya. 

Arul Rajoo pula berkata Bernama sedia membantu menyebar luas program dan perkhidmatan JPJ menerusi pelbagai platform agensi itu.

Bernama, di bawah Kementerian Komunikasi, berperanan sebagai sumber berita nasional serta beroperasi sejak 20 Mei 1968 dan boleh diikuti di pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, TikTok, X, Instagram serta YouTube.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan