WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Takaful Malaysia Lancar Kaotim Legasi, Pelan Hibah Serendah Rm30 Sebulan

14/08/2024 09:04 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd telah melancarkan Kaotim Legasi, pelan Hibah takaful mampu milik dengan nilai perlindungan hayat sehingga RM2 juta.

Kaotim Legasi merupakan pelan Hibah takaful mampu milik ditawarkan melalui platform digital Kaotim, serendah RM30 sebulan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal berkata Kaotim Legasi adalah produk terbaharu di bawah jenama Kaotim susulan kejayaan Kaotim MediKad pada November tahun lepas.

“Kami sangat gembira dengan sambutan positif diterima sejak pelancaran jenama dan platform digital Kaotim serta pelan Kaotim MediKad pada November tahun lalu.

“Kaotim Legasi merupakan pelan Hibah takaful bertujuan membantu masyarakat merancang keperluan perlindungan kewangan mereka dan kelangsungan hidup ahli keluarga sekiranya berlaku kematian kepada pelanggan produk ini,” katanya.

Pelan Hibah takaful ini dapat membantu menyelesaikan masalah warisan yang timbul akibat kematian seperti masalah kewangan dihadapi oleh waris si mati sama ada untuk meneruskan kehidupan ataupun melunaskan hutang si mati dengan menggunakan pampasan diperoleh.

Nor Azman berkata manfaat pelan hibah takaful itu juga boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan anak-anak seandainya hilang sumber pendapatan utama.

“Anda boleh melanggan Kaotim Legasi sebagai hadiah kepada sesiapa sahaja, sama ada waris atau bukan waris kerana pelan ini tidak tertakluk pada pembahagian harta. Ia berperanan sebagai pengganti pendapatan jika anda tidak lagi boleh bekerja akibat hilang upaya atau penyakit kritikal,” katanya.

Kaotim Legasi berbeza berbanding produk lain kerana pelan tersebut menawarkan nilai perlindungan hayat yang tinggi melalui platform dalam talian serta pilihan perlindungan tambahan untuk 48 penyakit kritikal.

“Para pelanggan boleh melanggan Kaotim Legasi dalam talian, pada bila-bila masa, di mana sahaja dengan melengkapkan urus niaga dalam hanya beberapa minit sahaja untuk terus dilindungi pada hari yang sama.

“Takaful Malaysia mahu memberikan pengalaman yang lancar dan efisien semasa melanggan Kaotim Legasi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan