WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sekolah Taarana Lancar Program Sifar Sisa, Pupuk Kelestarian Alam

14/08/2024 09:20 AM

PETALING JAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Sekolah Taarana, sebuah pusat khusus untuk mendidik dan menyediakan terapi bagi kanak-kanak yang mempunyai cabaran kognitif dan deria, melancarkan projek "Zero Waste@Taarana" baru-baru ini.

Program itu mengukuhkan komitmen sekolah berkenaan, yang ditubuhkan pada 2011 di Petaling Jaya oleh Yayasan RYTHM, terhadap kelestarian dan menyasarkan untuk mendidik pelajarnya mengenai pemuliharaan dan kitar semula.

Inisiatif Zero Waste@Taarana yang memberi tumpuan kepada pendidikan ekologi, pembangunan kemahiran, keterangkuman sosial dan amalan lestari, turut melengkapkan pelajar neurodivergent Taarana dengan asas untuk pekerjaan masa depan dalam bidang itu.

Pengetua Taarana Dr Sunitha Sivakumaran berkata di sekolah itu, mereka percaya bahawa pendidikan bukan hanya untuk perkembangan intelek dan emosi pelajar, tetapi juga rasa tanggungjawab terhadap dunia di sekeliling mereka.

"Projek ini ialah bukti komitmen kami untuk mencipta masa hadapan yang mampan bagi pelajar dan masyarakat.

"Walaupun ia disasarkan terutamanya kepada pelajar pravokasional yang lebih tua, inisiatif ini mencerminkan usaha kami untuk menyemai kesedaran dan tanggungjawab alam sekitar terhadap pelajar muda kami, memupuk budaya kelestarian sejak kecil," katanya.

Sejak Mei lepas, program itu telah menyepadukan beberapa amalan lestari dalam rutin harian sekolah, melibatkan pelajar, petugas dan ibu bapa dalam mengurangkan sisa dan menggalakkan tabiat mesra alam.

Komponen utama Zero Waste@Taarana termasuk menyediakan stesen pengumpulan kitar semula, aktiviti pengasingan sisa, dan projek seni kreatif yang dihasilkan daripada bahan terbuang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran berkata melalui projek Zero Waste@Taarana, pihaknya memajukan kelestarian alam sekitar sambil memperjuangkan keterangkuman dan mengiktiraf sumbangan tidak ternilai daripada komuniti berkeperluan khas.

"Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan pelajar Taarana, tetapi juga memupuk masyarakat tidak kira kebolehan mereka, dapat berintegrasi tanpa pertimbangan atau tanggapan awal. Ia merangkumi komitmen kami untuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan," katanya kepada pemberita pada pelancaran itu.

Umayal berkata sekolah berkenaan khusus dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan sumber untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan matlamat keseluruhannya adalah untuk menyerlahkan potensi kanak-kanak melalui program akademik dan terapi berstruktur, membolehkan mereka menjadi aktif dan menyumbang kepada masyarakat.

Guru dan ahli terapi sekolah itu bekerjasama rapat dengan ibu bapa untuk membangunkan pelan pendidikan dan terapi peribadi yang mencerminkan kebolehan setiap kanak-kanak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan