WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ekonomi MADANI Tingkat Kualiti Hidup, Beri Manfaat Jutaan Rakyat

14/08/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ekonomi MADANI yang diperkenalkan kerajaan pada 27 Julai 2023 telah memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia merangkumi pelbagai lapisan masyarakat dan sosiobudaya. 

Kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu antara lain bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memastikan manfaat dan peluang yang saksama, taraf hidup lebih baik serta perlindungan sosial untuk rakyat.

Menerusi infografik Kementerian Kewangan, bagi enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM3.6 bilion telah dibelanjakan bagi inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memberi manfaat kepada 8.5 juta penerima.

Bagi tempoh yang sama, RM282 juta diperuntukkan bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SAR) untuk 700,000 penerima STR yang berstatus miskin dan miskin tegar, manakala RM776 juta disalurkan menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BPA) melibatkan 5 juta pelajar dengan RM150 diperuntukkan bagi setiap murid.

Selain itu, kerajaan juga memberikan bantuan RM200 sebulan di bawah Budi MADANI kepada 150,000 penerima, RM483 juta untuk 600,000 penerima Insentif Penoreh, Petani dan Nelayan serta RM214 juta di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat bagi manfaat 4,200 peserta. 

Mengulas mengenai pencapaian itu, Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata inisiatif yang diberikan kerajaan seperti STR, SAR dan BPA itu merupakan pemberian berharga dalam membantu rakyat menampung perbelanjaan pada saat yang memerlukan.

Barjoyai berkata bantuan secara tunai itu dilihat sebagai "penyelamat" kepada ketua isi rumah daripada golongan kurang berkemampuan untuk membeli keperluan harian dan meneruskan kelangsungan hidup.

“Dalam mencapai kesejahteraan rakyat, ada beberapa perkara perlu ditekankan iaitu menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah dan inisiatif yang diberikan kerajaan melalui Ekonomi MADANI ini sebagai usaha menambah pendapatan isi rumah, mengurangkan beban dan usaha mengeluarkan mereka daripada kemiskinan tegar. 

“Malah, kerajaan juga berjanji bahawa sekiranya penstrukturan semula subsidi diesel berhasil, ia akan  digunakan untuk menambah pemberian STR kepada setiap keluarga yang layak dan langkah ini dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Infografik Kementerian Kewangan itu turut memaparkan sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi 5,000 pemohon dan RM8 bilion di bawah Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk 3.28 juta pengeluaran. 

Selain itu, kerajaan juga menyalurkan RM86 juta untuk Kampung Angkat MADANI melibatkan 42 kampung, RM257 juta bagi usaha menaik taraf sekolah daif secara besar-besaran, RM5.4 juta penaiktarafan 81 klinik kesihatan di seluruh negara dan RM428 juta untuk penaiktarafan 7,000 sekolah vernakular.

“Penaiktarafan ini sebagai usaha kerajaan meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan kemudahan yang berkualiti dan dalam masa sama, memastikan rakyat mendapat perlindungan sosial.

“Sebenarnya, kesan Ekonomi MADANI dapat dilihat dalam jangka panjang dan kita memerlukan sedikit masa untuk mencapai kesan positifnya secara ketara dan saya percaya dengan persekitaran dan inisiatif yang diusahakan kerajaan, dalam tempoh lima tahun lagi kerajaan akan mencapai matlamat besar untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” kata Barjoyai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan