WILAYAH - UTARA > BERITA

Op Khas: JPJ Kesan Sembilan Pemandu Lori Positif Dadah

14/08/2024 03:05 PM

GOPENG, 14 Ogos (Bernama) -- Sembilan pemandu kenderaan perdagangan disahkan positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak. 

Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan berkata kesemua mereka ditahan sepanjang 13 hari operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Malaysia Berhad (PLUS).

“Dalam tempoh sama sebanyak 6,247 kenderaan perdagangan membabitkan bas ekspres dan pelancongan turut diperiksa,” katanya kepada pemberita semasa operasi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 581 kenderaan dikenakan tindakan, manakala tiga lagi disita atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan melibatkan tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans selain mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran serta menggunakan cermin gelap," katanya. 

Semua kesalahan disabitkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta mengikut Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). 

Beliau turut menasihatkan pengguna membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas secara terus atau menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta butiran lengkap aduan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan