WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anggota Pasukan Khas Bomba Kumpul Dana Untuk Eskpedisi Tawan Everest

14/08/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama beberapa persatuan pendaki gunung sedang menggerakkan usaha mengumpul dana bagi membiayai ekspedisi menawan puncak Everest yang dirancang tahun depan.

Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang juga anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) JBPM berkata dalam ekspedisi pada musim pendakian antara Mac dan April tahun depan itu, beliau akan menjadi pendaki tunggal yang membawa nama JBPM.

Beliau berkata ekspedisi berkenaan juga akan berusaha menambah dana bagi membantu anggota bomba kurang bernasib baik termasuk yang tercedera atau terkorban semasa bertugas.

“Selain itu, ekspedisi ini akan membuktikan bahawa pasukan badan beruniform di Malaysia setanding dengan pasukan badan beruniform negara maju yang lain, dan inisiatif ini juga adalah rentetan kayuhan solo berbasikal saya sejauh 2,400 kilometer melawat 105 balai JBPM di Semenanjung Malaysia pada 2020.

“Setakat ini Projek Pendakian Amal Bomba de Everest Mencari Hati Emas 2025 telah mendapat lampu hijau daripada Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Fakhrul Munir, 42, yang kini bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM, Subang Jaya, Selangor berkata beliau sedang menggerakkan jualan amal alat pemadam api edisi khas, baju-t dan topi bagi tujuan pembiayaan ekspedisi berkenaan dan ia boleh dibeli di laman web https://twh.yezza.store/.

“Projek (ekspedisi) kali ini dianjurkan Kelab Kembara Kosmopolitan dengan kerjasama Summit Attack Resources dan turut mendapat sokongan padu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, ahli-ahli perniagaan dan rakan-rakan pendaki,” katanya.

Katanya beliau akan mengambil cuti tanpa gaji bagi menjayakan ekspedisi itu nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan