WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Maimunah wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa esok

14/08/2024 06:30 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa mulai esok (15 Ogos) bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib.

Pelantikan itu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan selaras dengan Subseksyen 4 (2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Maimunah merupakan individu bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan dengan pengalaman 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Beliau berkata Maimunah, 63 tahun pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Bandar Masa Depan dan Pengerusi Bersama Gabungan 2030 Kerajaan tempatan dan kini beliau dilantik sebagai penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI).

"Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaliha berkata Maimunah juga telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.

"Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," katanya.

Maimunah juga pernah menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya selama enam tahun dan merupakan wanita Asia pertama yang memegang jawatan tersebut.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.

Zaliha turut merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kamarulzaman atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

--BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan