WILAYAH - UTARA > BERITA

Halang kaki lima, MBPP ambil tindakan terhadap sembilan premis makanan

14/08/2024 06:52 PM

GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tindakan ke atas sembilan premis makanan dan minuman di Lebuh Chulia dan Love Lane di sini dengan merampas peralatan perniagaan kerana menghalang laluan kaki lima di kawasan berkenaan semalam.

MBPP menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan dalam operasi bermula 8.30 malam itu, pihaknya telah merampas 44 barangan dari sembilan premis perniagaan itu yang terdiri daripada 29 unit kerusi, 10 meja dan lima papan tanda iklan.

Pihak Berkuasa Tempatan itu mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha premis-premis perniagaan berkenaan susulan perangai mereka yang engkar dan berdegil walaupun beberapa amaran serta kompaun telah dikenakan sebelum ini.

"Tindakan tegas yang diambil ke atas pengusaha premis-premis perniagaan itu adalah susulan daripada perangai mereka yang engkar dan berdegil walaupun beberapa amaran dan kompaun telah diberikan.

"Tindakan rampasan peralatan perniagaan adalah di bawah Seksyen 46(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (halangan)," mengikut hantaran itu hari ini.

Kesemua peralatan perniagaan yang dirampas telah dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar memaparkan pelanggan di premis makanan serta minuman di sekitar kawasan berkenaan turut berhibur dengan menari di sepanjang kaki lima itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan