WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Digital Yakin Peroleh Lebih Banyak Pelaburan Pada Separuh Kedua 2024

15/08/2024 09:22 PM

PETALING JAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Digital yakin dapat memperoleh lebih banyak pelaburan digital pada separuh kedua tahun ini selepas mencatat prestasi memberangsangkan pada separuh pertama.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata jumlah pelaburan digital Malaysia mencecah RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini mengatasi RM46.2 bilion yang dicapai bagi keseluruhan 2023, disokong oleh dasar mesra perniagaan Kerajaan MADANI.

Beliau berkata pelaburan ini telah mencipta 25,498 peluang pekerjaan pada Separuh Pertama 2024, mengatasi jumlah 22,258 dalam tempoh yang sama pada 2023.

“Digital adalah bidang yang berkembang pesat dan menarik perhatian ramai. Kita akan melihat lebih banyak tumpuan diberikan dalam sektor ini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara sekolah sains komputer, 42 Malaysia, yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Bhd secara kerjasama dengan Sunway Education Group, dan MyDIGITAL Corporation.

Gobind berkata bagi merangsang  pelaburan dalam sektor digital, senarai harapan Belanjawan 2025 yang akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan akan merangkumi pengecualian cukai.

“Persoalan yang dibangkitkan adalah bagaimana kerajaan boleh membangunkan dasar mengenai insentif yang akan mendorong perniagaan untuk melabur, jadi terdapat cadangan tertentu yang akan dikemukakan yang menumpu kepada percukaian.

“Saya fikir ia bergantung kepada sepantas mana kita boleh mendapatkan semua orang menggunakan teknologi kerana jika anda melihat jumlahnya, perusahaan kecil dan sederhana membentuk 97 peratus daripada industri negara. Jika semua mereka menggunakan teknologi dalam perniagaan mereka, negara akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi digital yang luar biasa,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan dan industri perlu menjalin perkongsian yang lebih kukuh lagi untuk mempercepatkan agenda digital nasional, antara lainnya, dalam penciptaan bakat, bagi menyokong industri yang berkembang pantas. 

Gobind berkata gergasi teknologi seperti Google, AWS, Byte Dance, Nvidia dan Microsoft telah membuat pelaburan berbilion ringgit ke dalam sektor digital Malaysia dan akan memerlukan ramai pekerja mahir untuk menyokong operasi mereka.

Menurunya, MyDIGITAL dan 42 Malaysia akan memanfaatkan kemahiran antara satu sama lain untuk membangunkan bakat digital di Malaysia.

Inisiatif yang dirancang termasuk penyelidikan dan pembangunan bersama, program pertukaran latihan rentas sempadan, bengkel kerjasama dan program latihan serta program kepimpinan digital eksekutif.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan