WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemandu Bas Maut, 12 Cedera Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan

15/08/2024 09:47 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu bas maut, manakala 12 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tan Seng Lee berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi itu, melibatkan sebuah bas jenis Scania serta dua lori jenis Scania dan Nissan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas yang membawa 12 penumpang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru, dipercayai tidak sempat memperlahan kenderaan dan melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan.

“Sewaktu kejadian, lalu lintas di kawasan KM49.4 bergerak perlahan. Akibat dari pelanggaran itu, lori Nissan itu telah berganjak ke hadapan dan terlanggar bahagian belakang lori jenis Scania,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata kejadian tersebut telah menyebabkan pemandu bas berkenaan cedera parah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata enam penumpang bas berkenaan menerima rawatan di Hospital Kluang, manakala enam lagi menerima rawatan lanjut di hospital Kulai.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987),” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Mohd Fauzi Md Nor dalam kenyataan berasingan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kemalangan itu pada pukul 2.15 pagi.

Beliau berkata pemandu bas yang dikenal pasti sebagai Mohd Sharif A Moin, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sebelas penumpang bas terbabit yang cedera iaitu enam lelaki, empat wanita dan seorang Orang Kurang Upaya (OKU), manakala seorang kanak-kanak yang berada dalam bas terbabit tidak mengalami kecederaan dan pemandu maut,” katanya.

Mohd Fauzi berkata pemandu lori Nissan mengalami kecederaan namun pemandu lori Scania tidak mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan