WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Padah Buat Aksi 'Wheelie Dua Rakan Maut

15/08/2024 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Aksi ‘wheelie’ dua sahabat berusia 13 tahun membawa padah apabila kedua-duanya maut selepas motosikal mereka bertembung sesama sendiri di Elmina Business Park, Sungai Buloh, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata dalam kejadian kira-kira 11.20 malam itu, motosikal mereka ketika merempit. 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz meminta ibu bapa atau penjaga lebih peka mengawal anak-anak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram kerana bukan sahaja boleh meragut nyawa tetapi turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata penunggang motosikal di bawah umur dan penjaga boleh didakwa mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu bawah umur dan membenarkan orang lain yang tidak memiliki lesen memandu.

“Ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang  menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya. 

Mohd Hafiz berkata statistik kemalangan maut akibat aktiviti berlumba atau menguji kelajuan di kawasan Sungai Buloh bagi Jan hingga Ogos 2024 menunjukkan peningkatan drastik dengan tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan 11 penunggang motosikal maut.

“Jika dibandingkan dengan (sepanjang) tahun lepas, hanya tiga kertas siasatan dibuka membabitkan tiga penunggang motosikal maut dan peningkatan ini amat membimbangkan,” katanya.

Mohd Hafiz juga mengajak semua masyarakat supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi membanteras isu lumba haram. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan