WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SSPA Terap Roh, Semangat Reformasi Perkhidmatan Awam - PM Anwar

16/08/2024 03:55 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) --  Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Dis ini, mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tiga ikhtiar untuk menjayakan reformasi itu ialah meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam; meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan; dan meningkatkan daya saing negara.

“Saya tidak mahu ada andaian di luar kita hanya nak menarik minat dan sokongan penjawat awam, kita ambil keputusan ini (melaksanakan SSPA) kerana kita anggap ini keputusan yang adil untuk penjawat awam.

“Maka SSPA mesti diukur berdasarkan produktiviti dan sumbangan secara langsung kepada kecekapan penjawat awam di semua peringkat, desa kota kecil, bandar dan kota raya,” katanya  ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada SSPA, setelah mengambil kira pelbagai faktor dan melaksanakan pertimbangan yang teliti serta berhemah.

Dalam aspek mengoptimum sumber dan peningkatan produktiviti, Anwar berkata kerajaan telah bersetuju dengan beberapa perkara, antaranya meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia atau setara.

Beliau berkata justeru itu, beban dan kompleksiti tugas sedia ada juga akan ditambah dan ditingkatkan, yang secara tidak langsung akan menggalakkan penugasan berbilang (multitasking) dan kemahiran berbilang (multi-skilling) dalam kalangan pegawai.

Anwar juga mahu sistem perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain, kerana ia akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang.

“Kita warisi dah 60 tahun, kadang-kadang jabatan yang sudah tak relevan kita kekalkan juga, agensi-agensi puluhan yang sudah tidak relevan kita samakan, sebagai contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wireless dan jurusolek, itu masih dikekalkan.

“Jadi hal in harus diseragamkan, bukan maknanya ditiadakan petugas sedia ada, tapi diseragamkan supaya tidak ada pembaziran, ini yang disebutkan perubahan berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam,” katanya.

Anwar berkata syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan akan dipinda bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat di dalam perkhidmatan awam selari dengan evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa.

“Maka, kita melaksanakan kajian pertindihan struktur dan fungsi kementerian serta agensi yang menumpukan kepada dua fokus utama iaitu keusahawan ddan keselamatan negara yang dijangka selesai pada Julai 2025,” katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan audit perjawatan yang menyeluruh, untuk mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan di seluruh kementerian dan agensi, serta mengambil tindakan penyelarasan selanjutnya untuk memastikan beban tugas yang ditanggung adalah adil kepada kompleksiti dan bidang tugas yang diberikan kepada setiap unit atau bahagian di kementerian atau agensi.

Selain itu, Anwar berkata di bawah Rasionalisasi Pejabat-Pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri, pejabat agensi kerajaan di luar negara seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan disatukan di bawah satu bumbung.

Katanya, perkara itu yang akan berkuat kuasa 1 Jan depan, bertujuan untuk menjimatkan belanja dan mengoptimumkan kos operasi.

“Saya mahu perkara reformasi ini diambil dengan serius. JPA dan Kementerian Kewangan perlu melaksanakan perkara ini, dan saya tidak lagi mahu dengar tentangan, justifikasi mengarut, degil dan ‘sense of ownership’ yang rigid sehingga menggagalkan pelaksanaan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan