WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Sarawak Bakal Sajikan Upacara Pembukaan Gilang-gemilang

17/08/2024 08:12 AM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Stadium Sarawak bakal bermandi cahaya pada malam ini, bersempena dengan upacara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah buat kali ketiga.

Berkonsepkan Matlamat Perpaduan Membara, upacara itu akan memperlihatkan semangat perpaduan digambarkan menerusi gabungan pancaran laser yang pastinya memukau ribuan hadirin membanjiri stadium negeri itu.

Upacara pembukaan yang akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 8.30 malam ini, menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh semua khususnya rakyat Bumi Kenyalang.

Bagi menambah seri, para hadirin akan dihiburkan oleh barisan artis terkenal tanah air antaranya Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Marsha Milan dan Bob Yusof.

Kemuncak acara pastinya tertumpu kepada penyalaan obor SUKMA 2024 sebagai simbolik sukan sebagai landasan perpaduan masyarakat.

Bagaimanapun, yang menjadi elemen kejutan siapa yang diberi penghormatan untuk menyalakan obor temasya sukan dwitahunan kebangsaan yang secara tradisinya dipilih dalam kalangan atlet terkemuka.

Umumnya, Sarawak berjaya melahirkan barisan atlet terkemuka antaranya legenda pecut Watson Nyambek, atlet renang Daniel Bego, pemain golf Ashley Lau dan juga barisan penerjun seperti Bryan Nickson Lomas, Traisy Vivien Tukiet, Datuk Pandelela Rinong dan terkini Bertrand Rhodict Lises yang baru pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024.

Penganjur menjangkakan stadium akan dipenuhi peminat sukan tempatan yang tidak sabar untuk menyaksikan kehebatan kembalinya SUKMA ke Sarawak selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2016. Kali pertama Sarawak menjadi tuan rumah pada 1990.

Sementara itu, beberapa laluan menuju ke Stadium Sarawak akan ditutup bermula 3 petang ini melibatkan laluan bulatan Sesco, bulatan Kesuma Resort, lorong masuk ke tempat letak kenderaan di hadapan Stadium Negeri, persimpangan Gelanggang Skuasy, jalan masuk menghala ke Pintu D dan Pintu A Stadium Sarawak serta laluan sebelum Kampung Stadium.

SUKMA 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan itu.

Laman web dwibahasa itu juga memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan