BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK Nenggiri: SPR Jangka Lebih 60 Peratus Keluar Mengundi, Esok

16/08/2024 01:43 PM

GUA MUSANG, 16 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN ) Nenggiri, esok, mencapai 60 peratus.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata keputusan bagi PRK DUN tersebut yang melibatkan 20,259 pengundi berdaftar, dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam esok.

Setakat ini, menurutnya persiapan bagi proses pengundian di kesemua 20 Pusat Daerah Mengundi berjalan lancar dan seramai 431 petugas SPR akan digerakkan bagi membantu melancarkan proses pengundian.

“Selain itu dua buah helikopter dan 40 pacuan empat roda akan digunakan bagi membantu kelancaran proses pergerakkan peti undi di kesemua 20 pusat mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ikmalrudin berharap para pengundi dapat keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada masa ditetapkan dan menyemak terlebih dahulu pusat mengundi masing-masing, kerana terdapat enam pusat mengundi yang akan ditutup lebih awal.

“Para pengundi juga diingatkan supaya membawa kelengkapan maklumat mengundi seperti kad pengenalan bagi memudah dan melancarkan proses pengundian berlangsung,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan