WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Air Percuma Bagi Bil Ogos Kepada Mangsa Banjir Di Alor Gajah

16/08/2024 10:27 PM

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka akan memberikan rebat dalam bentuk air percuma bagi bil Ogos ini kepada 1,500 keluarga mangsa banjir di Alor Gajah.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rebat air itu melibatkan 3,521 akaun pengguna Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM177,453.50.

Beliau berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa banjir yang melibatkan lebih 6,000 mangsa daripada 1,500 keluarga berkenaan.

"Mereka yang terjejas banjir ini perlu membuat permohonan kepada SAMB dengan mengemukakan surat laporan polis atau surat pengesahan agensi berkaitan yang mengesahkan premis mereka terjejas banjir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri di sini hari ini. 

Sebanyak 23 kawasan di daerah itu termasuk Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung, Ayer Limau dan Kampung Sungai Jernih dilanda banjir pada 11 Ogos lepas berikutan hujan lebat berterusan selama lebih enam jam dan disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Selain rebat air secara percuma, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kecemasan RM300 menerusi Tabung Bencana Negeri Melaka dan mengagihkan lebih 1,500 kit makanan kepada mangsa banjir yang terpaksa berlindung di 10 pusat pemindahan sementara akibat bencana itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan