SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Skuad Futsal Sarawak Pamer Taring Benam Johor

17/08/2024 01:51 AM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Skuad futsal tuan rumah mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Johor dalam perlawanan Kumpulan B Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan hari ini.

Sarawak tidak menunggu lama untuk membuka jaringan hasil penyudah Mohammad Azrin Shahmin Jefery pada minit keempat permainan sebelum giliran Mohammad Aedel Izzwan Iswandi mencetak nama sebagai penjaring tiga minit kemudian.

Pasukan Johor cuba memberikan saingan menerusi gol Muhammad Dodie Al Fareq Mohd Zailani pada minit ke-11, sebelum jaringan Asyraff Zakaris pada minit ke-19 diikuti penyudah Radziman Radzuan untuk jaringan keempat tuan rumah pada minit ke 37 meranapkan kebangkitan Johor.

Kemenangan itu menyaksikan Sarawak kini berada di kedudukan kedua Kumpulan B dengan empat mata daripada dua perlawanan hasil satu kemenangan dan satu seri, dibezakan menerusi perbezaan jaringan dengan Perak ditangga ketiga yang juga mengutip empat mata selepas tiga perlawanan.

Dalam pada itu skuad futsal Selangor meneruskan rentak kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut pada SUKMA 2024 selepas menewaskan Pahang 2-1, sekali gus menyaksikan Selangor mengungguli Kumpulan B dengan sembilan mata.

Kumpulan A pula menyaksikan Sabah masih belum mengutip sebarang mata selepas mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut tewas kepada Pulau Pinang 2-4 manakala Wilayah Persekutuan mengalahkan Melaka 2-1.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan