WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Raih Emas Sepak Takraw Berpasukan Wanita

17/08/2024 12:00 AM

BINTULU, 16 Ogos (Bernama) -- Pasukan sepak takraw wanita Sabah ternyata sukar dicabar apabila mengesahkan pingat emas menjadi milik mereka selepas menewaskan Sarawak 3-0 dalam perlawanan terakhir liga sepusingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Kemenangan berkenaan membolehkan Sabah mengutip keseluruhan lapan mata untuk mengungguli saingan berlangsung di Stadium Muhibbah di sini.

Regu A Sabah diketuai Nadillatul Rosmahani Saidin mempamerkan aksi cemerlang untuk menang mudah 15-8, 15-11.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata tidak memberi kelebihan buat Regu B Sarawak yang turun dalam perlawanan kedua, dilihat sedikit gugup serta melakukan kesilapan mudah mengakibatkan mereka tewas 9-15, 9-15 kepada Regu B Sabah.

Sabah meneruskan penguasaan menerusi Regu C yang turun sebagai pelengkap jadual, menang 13-15, 15-6, 15-7.

Sarawak terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah mengumpul enam mata daripada empat perlawanan manakala gangsa milik Perak yang memungut empat mata hasil empat perlawanan.

Pada edisi SUKMA 2022, pasukan wanita Sabah merangkul tiga emas menerusi kategori beregu, regu dan quadrant.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah Rosli Ibrahim berkata pasukan wanita menampilkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan terakhir tadi sehingga berjaya meraih pingat emas.

“Sasaran kami sememangnya untuk menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan bagi kategori wanita pada edisi kali ini. Satu sudah dapat dan kami mengejar tiga lagi emas,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak Datuk Ismail Abang Saufi pula memuji aksi ditonjolkan pasukannya sambil menyifatkan Sabah sebagai pasukan yang sukar dicabar.

“Perlawanan amat sengit. Kami sebenarnya hanya menyasarkan pingat gangsa untuk kategori ini tetapi hasil usaha keras semua pemain, kami berjaya meraih pingat perak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan