WILAYAH - TIMUR > BERITA

PRK Nenggiri : Petugas Penunjuk Arah 'Wira Tak Didendang' Bantu Pengundi Laksana Tanggungjawab

17/08/2024 04:49 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Setiap kali adanya pilihan raya, pastinya pengundi yang memerlukan bantuan akan mencari petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), khususnya penunjuk arah untuk mendapatkan khidmatnya.

Penunjuk arah ini tidak asing dalam kalangan pengundi kerana mereka akan memakai ves SPR, menandakan pengundi boleh mendapatkan bantuan daripada mereka seperti perkhidmatan kerusi roda dan mengiringi ke saluran mengundi untuk melancarkan proses pengundian.

Mohd Izzat Haron, 46, berkata sebelum pusat mengundi dibuka pukul 8 pagi, beliau akan memastikan kerusi roda untuk membawa pengundi yang memerlukan, berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Ini untuk memastikan saya sentiasa bersedia apabila ada pengundi yang perlukan bantuan kerana tidak mampu berjalan jauh ke pusat saluran mengundi.

“Saya juga perlu pastikan pengundi berada di saluran yang betul dan membawa mereka semula ke pintu pagar sebelum waris keluarga tiba untuk mengambil mereka pulang,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh, di sini hari ini.

Sekolah itu antara 20 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, yang dibuka bagi proses pengundian sejak pukul 8 pagi tadi.

Seorang lagi petugas SPR Mohamad Helmi Hassan, 33, pula berkata beliau sememangnya gemar melakukan tugas tersebut kerana ingin membantu pengundi yang memerlukan bantuan, terutama warga emas.

“Kawasan saya ini ramai warga emas dan orang sakit, jadi bila dapat bantu orang kampung sendiri saya rasa gembira dan puas hati.

“Ini bukan untuk tunjuk pada orang, saya rajin atau sebagainya, tetapi ingin beritahu kepada masyarakat bahawa kita kena cakna kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang sudah empat kali berkhidmat sebagai penunjuk arah sepanjang pilihan raya diadakan.

PRK DUN Nenggiri hari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan Mohd Rizwadi mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan