WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: 35 Pingat Emas Dipertandingkan Esok

17/08/2024 05:32 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 35 pingat emas akan menjadi rebutan atlet yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 esok dengan pingat terbanyak ditawarkan di gelanggang karate di Miri.

Memasuki hari kedua, karate yang berlangsung di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri menawarkan lapan pingat emas esok, manakala taekwondo yang juga bermula semalam di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini mempertandingkan enam pingat emas.

Acara menembak di Lapang Sasar Menembak yang membuka tirai hari ini pula menawarkan enam pingat emas esok manakala golf di Kelab Golf Sarawak dan memanah di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya masing-masing mempertaruhkan empat pingat emas.

Dua lagi pingat emas menjadi rebutan dalam acara skuasy di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya dan jumlah sama ditawarkan dalam acara petanque di Pusat Petanque Sarawak di Santubong.

Acara tenpin boling yang membuka tirai sejak Khamis di Megalanes Sarawak mempertandingkan dua pingat emas sementara gimrama di Pusat Konvensyen Borneo menawarkan satu emas. 

Sementara itu, acara yang membuka tirai esok ialah berbasikal BMX di Bukit Siol Dewan Bandaraya Kuching Utara, Petra Jaya manakala pencak silat di Stadium Bandaraya, Miri dan kriket wanita di Padang Kriket & Ragbi Petra Jaya.

Kriket lelaki pula yang bermula sejak 13 Ogos di venue sama akan memasuki saingan suku akhir.

Acara lain yang masih berlangsung esok ialah bola keranjang 5 x 5, bola sepak wanita, bola tampar pantai, boling padang, hoki, tenis, futsal, tinju, bola jaring, badminton, bola tampar dewan, muay thai, sepak takraw dan sofbol.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan dan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan itu.

Laman web dwibahasa itu juga memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan