WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Putera Mahkota Brunei

18/08/2024 12:19 PM

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi lima hari dari 17 Ogos hingga 21 Ogos.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah tiba di Seri Perdana pada 11.25 pagi disambut Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Anwar dan Putera Mahkota Brunei kemudian mengadakan pertemuan secara tertutup bagi membincangkan langkah memperkukuh hubungan dua hala, serta menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Lawatan Putera Mahkota Brunei menambah lagi makna kepada hubungan istimewa dan mesra antara Malaysia dan Brunei yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat. Ini terutamanya ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini.

Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan