WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lapan Penyokong Ditahan Terlibat Kekecohan Di Stadium Perak

18/08/2024 01:29 PM

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Polis menahan lapan penyokong bola sepak disyaki terlibat kekecohan dan provokasi pada perlawanan Liga Super membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak  di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata tujuh daripada mereka berusia antara 19 hingga 32 tahun ditahan kerana membuat kekecohan dan provokasi serta disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan gaduh gempar.

“Polis turut menangkap seorang remaja berumur 16 tahun kerana membaling botol ke arah anggota polis yang sedang bertugas dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

Abang Zainal Abidin berkata pihak polis sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kes itu kepada Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Kekecohan berlaku ketika perlawanan antara The Bos Gaurus dan JDT yang sepatutnya dilangsungkan  pada 9 malam tertangguh sementara ekoran faktor cuaca buruk.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kemudian mengumumkan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu ditunda ke tarikh baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan