WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Acara Reben Biru Tumpuan Perebutan 59 Emas Esok

18/08/2024 05:16 PM

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 semakin ‘panas’ dengan sejumlah 59 pingat emas menjadi pertaruhan esok.

Tumpuan sudah pastinya beralih ke Stadium Sarawak yang akan menjawab persoalan siapa raja dan ratu pecut SUKMA edisi kali ini apabila olahraga membuka tirainya.

Keseluruhan olahraga menawarkan tujuh pingat emas menerusi acara 20,000 meter (m) jalan kaki, lompat kijang, rejam lembing, lontar peluru, lompat tinggi wanita dan 5,000m serta 4x400 campuran.

Tidak kurang juga peminat sukan akuatik yang pastinya teruja untuk melihat rekod baharu bakal dihasilkan menerusi acara renang selain menanti aksi memukau penerjun di Pusat Akuatik Pandelela Rinong dengan 10 pingat emas ditawarkan.

Terjun menawarkan dua pingat emas menerusi acara 3m papan anjal lelaki dan 10m platform seirama wanita pada hari pertama.

Acara renang pula menyaksikan emas ditawarkan dalam acara 50m kuak lentang lelaki dan wanita, 100m kuak dada, 200m gaya bebas dan 400m rampaian individu.

Sementara itu, taekwondo yang akan melabuhkan tirai esok menawarkan enam pingat emas untuk diburu iaitu acara lelaki kategori bawah 54kg, bawah 58kg, dan bawah 63kg, selain acara wanita bawah 46kg, bawah 49kg dan bawah 53kg.

Di Lapang Sasar Sarawak, enam pingat emas untuk dibidik dalam acara 10m Air Pistol wanita dan berpasukan, 25m Sport Pistol individu dan berpasukan lelaki serta 50m Rifle Prone individu dan berpasukan wanita.

Gimrama pula melabuhkan tirai dengan lima emas ditawarkan esok dalam gelung individu, bola, belantan, reben serta senaman berkumpulan, manakala Muay Thai menawarkan empat emas.

Kira-kira 250km dari Kuching iaitu di venue Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong akan menyaksikan ‘si badang’ memburu tiga emas disediakan dalam kategori bawah 55kg dan bawah 61kg lelaki serta bawah 45kg wanita.

Lagi pingat emas dipertaruhkan masing-masing dua dalam acara berbasikal BMX, petanque, karate, lawan pedang, sofbol dan tenpin boling manakala satu emas dalam acara skuasy, boling padang, tenis dan kriket T20 lelaki.

Pertandingan sengit juga diteruskan dalam acara bola sepak lelaki, bola jaring, badminton, sepak takraw, bola keranjang, bola tampar, bola tampar pantai, kriket wanita, pencak silat, memanah, ping pong, futsal, tinju, pelayaran dan ragbi walaupun tiada pingat ditawarkan esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan