WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pastikan Keperluan Asas Orang Asli Disediakan, Selenggara Dengan Baik - Titah Sultan Selangor

19/08/2024 03:35 PM

BANTING, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan perlu menyediakan keperluan dan menyelenggara kemudahan asas masyarakat Orang Asli di negeri ini dengan baik, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda tidak mahu masyarakat Orang Asli di Selangor dibiarkan ketinggalan daripada arus pembangunan dengan menganggap kewujudan kaum itu tidak lagi relevan dalam usaha mengejar kemajuan negara.

"Beta menitahkan supaya pihak kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor memastikan keperluan asas masyarakat Orang Asli seperti jalan raya, air, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah dapat terus disediakan dan diselenggara dengan baik dan sempurna.

Kerajaan Negeri Selangor khususnya perlulah peka terhadap keperluan masyarakat Orang Asli di Selangor dan bersedia membantu untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli di negeri ini," titah baginda pada Majlis Pelancaran Buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang–Spirit of Carey Island di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan kerajaan agar memastikan aspek kesihatan penduduk dan kebersihan perkampungan Orang Asli sentiasa pada tahap yang terbaik.

Baginda mahu setiap perkampungan Orang Asli kekal bersih di samping alam semula jadi yang terpelihara serta bebas daripada wabak penyakit.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut menyeru pihak kerajaan dan swasta supaya dapat memberi bantuan yang sewajarnya bagi membina dan membaiki semula Perkampungan Budaya Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey selepas mengalami kerosakan akibat dilanda ribut.

"Ia supaya perkampungan itu kembali menjadi tempat yang sesuai dikunjungi oleh masyarakat dan pelancong asing yang ingin mengenali dan merasai suasana perkampungan Orang Asli di Pulau Carey ini," titah baginda yang sedia maklum bahawa majlis pelancaran buku sepatutnya diadakan di perkampungan itu.

Baginda menzahirkan harapan agar penerbitan buku itu akan menjadi panduan kepada segala usaha untuk memajukan kaum Orang Asli di Selangor, dan dalam masa sama menarik minat pengkaji sejarah dan penggiat seni untuk mempelajari adat, tradisi dan seni kaum terbabit dengan lebih mendalam.

Titah baginda tradisi, elemen seni dan amalan kepercayaan kaum Mah Meri yang telah menetap lebih 300 tahun di Pulau Carey dicatatkan secara terperinci di dalam buku berkenaan dan boleh menjadi rujukan kepada generasi akan datang untuk mengenali kaum itu secara lebih dekat.

“Beta berbangga dengan kaum Orang Asli Mah Meri di Selangor yang telah berjaya memaparkan keunikan mereka kepada masyarakat di seluruh dunia sehingga diiktiraf UNESCO dalam seni ukiran kayu, dengan mendapat 22 pengiktirafan UNESCO Seal of Excellence.

“Beta berharap dengan adanya buku ini juga, produk-produk kraf tangan dan pelancongan kaum Mah Meri akan lebih terkenal dengan meluas dan seterusnya menambahkan lagi ekonomi dan taraf hidup mereka,” titah baginda.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 10 pagi disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Baginda bertiga turut berkenan melawat pameran hasil kerja terdiri daripada ukiran dan arca kayu serta anyaman daun nipah Orang Asli Mah Meri. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan