WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Orang Paling Tua Di Dunia Meninggal Dunia Pada Usia 117 Tahun Di Sepanyol

20/08/2024 10:28 PM

ISTANBUL, 20 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Maria Branyas, orang paling tua di dunia yang berusia 117 tahun, meninggal dunia pada Isnin, lapor Agensi Anadolu pada Selasa.

Dilahirkan pada 4 Mac 1907 di San Francisco, Amerika Syarikat, Branyas berpindah ke Sepanyol semasa kecil pada 1915.

Beliau memegang gelaran sebagai orang paling tua di dunia sejak 17 Jan 2023, selepas kematian super sentenarian Perancis, Lucile Randon pada usia 118 tahun, menurut agensi itu yang memetik media Sepanyol.

Seorang super sentenarian ialah individu yang berusia 110 tahun atau lebih. 

Kumpulan Penyelidikan Gerontologi (GRG), yang menyelia senarai Rekod Dunia Guinness untuk orang paling tua, mengesahkan bahawa usia dan status Branyas telah disahkan secara saintifik. Pada bulan Julai, beliau menjadi individu kelapan paling lama hidup dalam sejarah yang direkodkan, menurut data GRG.

Kehidupan Branyas merangkumi pelbagai peristiwa bersejarah, termasuk terselamat daripada pandemik COVID-19. Pada usia 113 tahun, beliau dijangkiti dan sembuh daripada virus itu pada April 2020, menjadikannya sebagai individu tertua yang diketahui berjaya pulih daripada penyakit berkenaan pada masa tersebut.

Sebelum pengiktirafan globalnya, Branyas telah diiktiraf sebagai orang paling tua di Sepanyol sejak 22 Dis 2019.

Kumpulan Penyelidikan Gerontologi dan Rekod Dunia Guinness dijangka mengumumkan pemegang baharu gelaran "orang paling tua di dunia" dalam masa terdekat.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan