WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Demam Denggi Menurun Pada ME32, Dua Kematian Direkod

19/08/2024 04:36 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 2,278 kes pada Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) iaitu bagi tempoh 4 Ogos hingga 10 Ogos lepas berbanding 2,515 kes pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian akibat komplikasi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME32 adalah sebanyak 90,533 kes berbanding 73,680 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Tahun ini 80 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan setakat ini berbanding 53 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME32 adalah sebanyak 86 lokaliti berbanding 95 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 86 lokaliti yang dilaporkan, Selangor mencatatkan 67 lokaliti, di Perak dan Negeri Sembilan masing-masing lima, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tiga lokaliti, Sabah (tiga), Kedah (dua) dan satu lokaliti di Pulau Pinang.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya terdapat satu kes direkodkan pada ME32, yang menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 64 kes dan tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME32.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 1,666 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel serebrospinal telah disaring dan kesemua mencatatkan keputusan negatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan