WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MPOC Alih Fokus Ke Pasaran Alternatif Berikutan Kenaikan Kos Di EU – CEO

20/08/2024 07:15 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sedang meneroka pasaran alternatif baharu yang boleh menawarkan akses serta kesaksamaan yang lebih besar selepas Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) mula meningkatkan kos menjalankan perniagaan di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Kaur Sron berkata pasaran yang sedang dipertimbangkan merangkumi India, China, ASEAN, Afrika serta Timur Tengah, yang boleh memberi peluang besar kepada pemain industri dan pekebun kecil Malaysia.

Katanya, walaupun Eropah kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia, pelaksanaan EUDR memberi cabaran yang ketara.

Penyelidikan data global menunjukkan pematuhan tersebut boleh membebankan pengeluar minyak sawit sehingga US$1.5 bilion. (US$1 = RM4.38).

“EUDR ialah halangan bukan tarif yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU). Ia mendiskriminasi empat komoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit, getah, kayu dan koko, dengan menyekat akses pasaran terbuka.

“Keperluan ketat peraturan berkenaan ke atas kebolehkesanan serta geolokasi akan dikenakan, saya tidak menggunakan perkataan 'mungkin' kerana ia memang akan menyebabkan beban kewangan dan teknikal tambahan kepada syarikat Malaysia, khususnya pekebun kecil, selain berpotensi mengecualikan mereka daripada rantaian bekalan EU,” katanya.

Beliau membuat kenyataan ini semasa ucapan alu-aluannya di Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF) di sini hari ini.

Turut hadir dalam acara itu ialah Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Berhad, Mohd Saleem Kader Bakas.

Tahun lepas,  EU mengimport 2.7 juta tan minyak sawit serta produk minyak sawit dari Malaysia, menjadikannya sebagai destinasi eksport ketiga terbesar selepas India dan China.

Belvinder turut melahirkan kebimbangan mengenai sistem penanda aras EUDR, yang mengkategorikan sesebuah negara sebagai berisiko rendah, sederhana atau tinggi berdasarkan kadar penebangan hutan dan pengembangan tanah pertanian.

“Pada masa ini, semua negara ditanda aras sebagai risiko sederhana,” katanya.

Walaupun disebalik cabaran ini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi memenuhi permintaan EUDR berikutan piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang telah disemak semula, turut merangkumi keperluan kelestarian yang dipertingkatkan.

Ini akan menjamin kelestarian rantaian bekalan minyak sawit Malaysia dan boleh dikesan.

“Untuk memastikan pematuhan dengan EUDR, MPOC membantu memudahkan analisis jurang standard MSPO, yang dikendalikan secara bebas oleh ahli ekonomi dan juruaudit Perancis untuk Meja Bulat Minyak Sawit Lestari ( RSPO) serta Institut Hutan Eropah. Beberapa jurang yang dikenal pasti akan diperbaiki.

“Memandangkan kepentingan isu ini, kami telah memasukkan kertas daripada MSPO bagi mengemas kini pihak berkepentingan tentang kemajuan Malaysia dalam memenuhi keperluan EUDR termasuk beberapa usaha lain untuk memperhalusi skim MSPO,” katanya.

Fokusnya bertujuan menutup empat jurang yang dikenal pasti iaitu definisi berkaitan penebangan hutan, kesahan, geolokasi dan kebolehkesanan, ini seterusnya, memastikan penjajaran penuh dengan keperluan EUDR.

Walaupun EU menyokong skim pensijilan kemampanan kebangsaan seperti MSPO, Belvinder menyatakan bahawa ini tidak boleh menggantikan kenyataan usaha wajar yang diperlukan oleh EUDR. 

Walau bagaimanapun, data yang disediakan oleh MSPO boleh membantu dalam memenuhi kewajipan usaha wajar ini.

“MPOC serta Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang bekerja gigih dengan MSPO untuk mendesak penerimaan dan pengakuan MSPO dalam rangka kerja EU.

 'Walaupun menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh EUDR, MPOC tetap komited dalam memastikan minyak sawit Malaysia terus diiktiraf kerana kemampanan dan kebolehkesanannya,” tambah beliau lagi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan