WILAYAH - TIMUR > BERITA

Sultan Pahang Titah Rakyat Terus Berdoa Dan Laksana Solat Sunat Istisqa'

19/08/2024 06:15 PM

KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya umat Islam di negeri ini untuk terus berdoa dan melakukan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini. 

Baginda bertitah demikian susulan paras air Sungai Pahang di beberapa kawasan mengalami penyusutan ketara dan membimbangkan hingga beberapa kawasan membentuk beting pasir serta terdapat beberapa kejadian kebakaran hutan di negeri ini.

“(Hujan dan panas) Ini semua kuasa Allah. Saya setiap hari berdoa dan semua rakyat kena doa, jangan ada kemarau, jangan ada banjir, jangan ada segala musibah dan terus berdoa jangan putus asa. Ada hujan lebat tapi tidak panjang kena bersyukur, ada matahari panas kita bersyukur juga.

“Kebakaran (hutan) bukan sebab cuaca kering (dan panas) sahaja kadangkala ada juga kecuaian manusia (yang) merokok, membakar tempat yang diketahui kering (jadi) kita cuba elakkan,” titah baginda ketika ditemui media selepas berkenan berangkat menziarahi tiga keluarga mangsa kebakaran rumah di Taman Pinggiran Putra, Tanjung Lumpur, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Tanjung Lumpur perlu dibangunkan memandangkan kawasan itu dan sekitarnya termasuk Inderapura serta Penor sering berlaku kebakaran.

“Sudah sampai masanya kita perlu ada balai bomba yang sesuai untuk kawasan ini kerana setiap tahun ada kebakaran dan semakin hari semakin banyak banyak penduduk dan banyak pembangunan sedang giat dimajukan di Tanjung Lumpur, diharap dapat diusahakan oleh kerajaan,” titah baginda. 

Dalam kejadian Khamis lepas, tiga  rumah hangus dalam kejadian kebakaran di Pinggiran Putra 4, Taman Kempadang Makmur di sini dengan sebuah rumah musnah 80 peratus, manakala rumah kedua dan ketiga terbakar kira-kira 40 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan