WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Tiga Lain Saman PDRM RM100 Juta

21/08/2024 02:54 AM

TAWAU, 20 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain dan tiga lagi memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 yang lain.

Saman dan tuntutan ganti rugi tersebut berhubung pendakwaan dan tangkapan salah dalam kes bunuh pemandu e-hailing tahun lepas.

Pada 25 Jan lalu, Mat Zaki bersama enam anggota polis dan seorang awam dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, pada 13 Jan tahun lalu.

Selain Mat Zaki,  tiga anggota yang sebelum ini bertugas di Unit Perisikan ESSCOM turut bertindak selaku plaintif iaitu Fabian Rungan, Dennis Enit dan Mohd Azlan Sakaran.

Semua plaintif memfailkan saman dan tuntutan ganti rugi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini Khamis lalu melalui Tetuan Lincon & Co.

Mereka menamakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM Datuk Seri Abdul Jalil Hassan; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa; Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah sebagai defendan pertama hingga keempat. 

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga ke-11 ialah Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin; ACP Dr Mohd Hakim Hashom; DSP Yusman Shahri Marinsah dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, PDRM, Jabatan Peguam Negara serta kerajaan Malaysia.

Mat Zaki dalam satu kenyataan berkata tindakan itu diambil demi mengembalikan maruah serta nama baik yang terjejas teruk dengan tuduhan tidak benar sehingga ke hari ini.

Beliau berkata tuduhan dan tangkapan salah yang dibuat tanpa bukti itu juga menjejaskan reputasi dalam komuniti perisikan Malaysia, Filipina dan Indonesia yang sebelum ini membina jaringan kerja baik bagi menjaga keselamatan perairan tiga negara terbabit daripada ancaman pengganas rentas sempadan.

"Biarpun dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan mahkamah selepas setahun direman di penjara, pihak yang bertanggungjawab dalam pertuduhan salah ke atas kami tidak pernah berusaha untuk memohon maaf atau cuba memulihkan maruah, nama baik dan reputasi kami yang terjejas teruk dengan tuduhan tidak benar,” katanya.

Malah, katanya, setelah bebas mereka  terus ditekan dari pelbagai sudut, dipindahkan keluar dari ESSCOM dan kemudian dipindah keluar dari Kontinjen Polis Sabah tanpa justifikasi yang jelas seolah-olah mereka telah bersalah.

Mat Zaki berkata antara asas tuntutan mereka ialah tangkapan dan penahanan secara salah atau tidak sah, siasatan tidak wajar dan berniat jahat, laporan berniat jahat dan kebocoran butir siasatan, dakwaan salah dan palsu serta tekanan berterusan yang mengakibatkan kemurungan berterusan walaupun dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

Kesemua plaintif menuntut ganti rugi khas, deklarasi serta permohonan maaf daripada 11 defendan sebagai menuntut keadilan.

Mahkamah melepas dan membebaskan kesemua plaintif daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Nurman selepas saksi utama Nurimah Juli mengaku membunuh bekas suaminya itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau  pada 13 Jan 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan