WILAYAH - TENGAH > BERITA

Rai Hari Kebangsaan Lebih Santai, Unik Di Glamping Jiwa Merdeka 2024

20/08/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Orang ramai boleh menyambut Hari Kebangsaan dan menyemarakkan jiwa merdeka dengan cara lebih unik dan santai dengan berkampung di Glamping Jiwa Merdeka 2024 pada 30 dan 31 Ogos depan.

Ketua Pengurusan Aset Kumpulan Putrajaya Leisures and Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) Wan Mohd Azhar Wan Mohd Shuky berkata acara bertempat di Stadium Mini, Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya itu mampu menempatkan lebih 360 khemah dan 80 karavan. 

"Bertemakan Malaysia Madani Jiwa Merdeka, konsepnya adalah berkhemah dengan keluarga pada malam ambang kemerdekaan (30 Ogos) sebelum menghadiri acara perbarisan di Dataran Putrajaya pada pagi 31 Ogos yang boleh diakses dengan berjalan kaki (kira-kira satu kilometer).

"Pengunjung perlu membawa khemah sendiri, digalakkan bersaiz 3.5 meter x 3.5 meter. Akan ada ruang antara khemah, kita pastikan keselesaan dan tak nampak padat," katanya ketika menjadi tetamu program Bernama Radio hari ini. 

Beliau berkata pakej bermula RM20 hingga RM55 dan kemudahan seperti parkir,  tandas, surau dan jualan makanan turut disediakan untuk keselesaan pengunjung. 

Wan Mohd Azhar berkata pelbagai acara diaturkan bermula 4.30 petang antaranya pertandingan mewarna Jiwa Merdeka, persembahan patriotik Jiwa Merdeka, tayangan filem kenegaraan, pertandingan hiasan khemah Jalur Gemilang dan Kira Detik 31 Ogos.

"Selain dapat mengelakkan kesesakan untuk masuk ke Dataran Putrajaya pada pagi 31 Ogos itu, kita ada pengisian yang membuatkan pengunjung lebih bersedia, menyuntik semangat patriotik, dan menghayati erti kemerdekaan sebelum sambutan," katanya. 

Cara pendaftaran dan maklumat lanjut boleh didapati di www.merdeka360.my atau laman media sosial Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Penerangan Malaysia. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan