WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Rekod Temasya Dalam Lima Acara Lebur Hari Ini

20/08/2024 11:34 PM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Rekod temasya dalam lima acara berjaya dipecahkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini, dengan tiga rekod lebur menerusi olahraga.

Ratu Pecut dari Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal menjadi pemilik emas dan rekod berganda, apabila muncul juara acara 200m dengan catatan 23.89 saat (s), mengatasi 24.37s yang dilakar pelari dari Perak Noor Eewan Syafiah Mohd Sabri pada edisi 2016 di venue sama. 

Semalam, pelari berusia 20 tahun itu, menyambar emas 100m dengan catatan 11.64s, yang memadam rekod 16 tahun temasya, milik Siti Fatima Mohamad (11.82s) dari Johor  yang dilakukan pada SUKMA 2008 di Terengganu.

Kuartet 4x400m lelaki Johor, yang diketuai pemegang rekod kebangsaan 400m, Umar Osman bersama Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal berjaya memecahkan rekod acara itu menerusi catatan 3:12.35s.

Wakil Pulau Pinang, Wilson Quaik Zhen Han memecahkan rekod temasya acara dekatlon selepas mengumpul keseluruhan 6,690 mata, sekali gus memperbaharui catatan 6,108 mata yang dilakar Mohammad Luqman Mohammad Zuki dari Kedah pada 2016 di sini.

Namun, selepas dua hari saingan olahraga berlangsung, tiada lagi rekod kebangsaan berjaya dipecahkan.

Sementara itu, perenang kebangsaan Bryan Leong Xin Ren mengatasi rekod temasya acara 50m kuak kupu-kupu lelaki sebanyak dua kali di Pusat Akuatik Pandelela Rinong untuk merangkul emas acara itu. 

Bryan pada awalnya memecahkan rekod SUKMA berusia 10 tahun milik Chan Jie, iaitu 25.13s pada saringan ketiga dengan 24.81s, sebelum memadamkan rekod itu dengan catatan 24.46s pada final.

Hii Puong Wei dari Sarawak pula memecah rekod acara 200m kuak lentang lelaki selepas mencatatkan 2:06.59s untuk meraih emas.

Atlet Muay Thai Sarawak, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, 16, meneruskan legasi emas keluarganya apabila muncul juara kategori 51-54kg. 

Pada edisi KL 2022, abangnya Mohammad Johan Ghazali Zulfikar yang lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali muncul juara kategori 60-63.5kg manakala Muhammad Elias Ghazali ungguli kategori lebih 63.5kg.

Dengan hampir separuh (242) daripada keseluruhan 488 pingat emas telah dipertandingkan, Sarawak kekal berada di tempat teratas kutipan pingat dengan menggondol 48 emas, 28 perak dan 38 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan (36-33-46) dan Terengganu (23-21-22).

Sebanyak 48 pingat emas menjadi taruhan pada esok, dengan 11 daripadanya di akuatik (lapan renang, tiga terjun) dan lapan dalam olahraga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan