WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pegawai Penguasa JKR Digesa Pantau Projek K’jaan Dibina, Elak Jadi Projek Sakit

20/08/2024 03:29 PM

AMPANG, 20 Ogos (Bernama) -- Pegawai Penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa memantau dengan teliti setiap projek kerajaan yang sedang dibangunkan supaya tidak berlaku “projek sakit” disebabkan masalah dan kelewatan proses pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ketika ini terdapat 2.8 peratus projek sakit kerajaan yang sepatutnya boleh dikurangkan kepada satu peratus.

“Ada banyak projek yang tidak disenaraikan dalam projek sakit kerana kita beri lanjutan masa (EOT), tetapi jangan kita biasakan memberi EOT. Kontraktor akan sentiasa memberi 1,001 macam alasan antaranya hujan.

“Kebanyakkan apa yang mereka hadapi adalah pengurusan kewangan yang tidak cekap, itu yang menyebabkan (berlakunya projek sakit). Jadi kita kena pantau dengan teliti projek yang ada di Malaysia,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Mahkamah Baharu Ampang di Pandan Indah di sini hari ini.

Justeru, Ahmad berkata Pegawai Penguasa JKR perlu melaksanakan kaedah proaktif dengan memberi nasihat dan panduan kepada kontraktor jika projek itu tidak dibuat seperti dijadualkan berbanding kaedah reaktif seperti membuka semula tender kepada kontraktor penyelamat.

Mengenai Mahkamah Baharu Ampang, beliau berkata bangunan tiga tingkat itu sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun tetapi tertangguh kira-kira tujuh tahun oleh kontraktor pertama.

Sehubungan itu, beliau berkata berkata kontraktor tersebut telah ditamatkan atas faktor prestasi kurang bagus dan turut dikenakan denda serta disenarai hitam selama dua tahun daripada mendapat projek kerajaan.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis itu Ahmad berkata Mahkamah Baharu Ampang antara sembilan projek institusi kehakiman yang dalam fasa pelaksanaan di seluruh negara melibatkan kos keseluruhan RM678 juta.

Beliau berkata selain mahkmaah tersebut, institusi kehakiman lain yang terlibat ialah Mahkamah Baharu Sik, Kedah; Mahkamah Baharu Pengerang, Johor; dan Mahkamah Baharu Ipoh, Perak.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan mengenai majlis tersebut memaklumkan Mahkamah Baharu Ampang menelan belanja kira-kira RM29.85 juta.

Menurut KKR pembinaan bangunan kehakiman itu telah bermula pada 9 Dis 2020 (tarikh milik tapak) dan siap sepenuhnya pada 19 April 2024, namun terdapat beberapa cabaran sepanjang tempoh pembinaan antaranya pandemik COVID-19.

Kenyataan itu juga memaklumkan projek tersebut dimiliki Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Mahkamah Negeri Selangor yang dilaksanakan secara konvensional perunding dengan JKR sebagai agensi pelaksana.

“Projek ini telah menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang bertepatan dengan usaha KKR untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Pembinaan mahkamah ini menekankan konsep reka bentuk moden atau dikenali sebagai reka bentuk industri urban yang diterjemahkan pada sisi luaran bangunan serta reka bentuk hiasan dalaman,” menurut kenyataan itu.

Mahkamah Baharu Ampang itu mengandungi empat Bilik Bicara Mahkamah Seksyen, enam Bilik Bicara Mahkamah Majistret, 10 Kamar Hakim, Pejabat Pendaftaran, Pentadbiran dan Kewangan, bilik pengurusan orang kena tuduh (OKT), ruang awam dan komersial serta ruang meletak kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan