WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Duarte Diharap Selesai Masalah Penyudah Tumpul Sabah FC - Kim Swee

20/08/2024 11:10 PM

KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Kehadiran penyerang baharu dari Brazil João Pedro Boiera Duarte diharap dapat menjadi penyelesaian kepada masalah ketumpulan penyudah pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee berkata ketumpulan penyudah yang dialami pasukan itu sebelum ini telah menghalang Sabah FC daripada memperoleh keputusan positif dalam beberapa perlawanan.

Beliau turut optimis kehadiran Duarte mampu memberikan sumbangan dan impak segera kepada pasukan itu untuk baki saingan Liga Super musim ini selepas pemergian Ramon Machado bulan lepas.

“Bagaimanapun, João Pedro (Duarte) perlu dilihat sebagai pemain yang berbeza daripada Ramon (Machado) , dan tidak wajar dibandingkan secara langsung.

“Harapan saya adalah untuk melihat Duarte memberikan prestasi terbaik dan memastikan kita mempunyai pengganti yang sama seperti Machado untuk membantu jentera serangan,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Dalam pada itu, Kim Swee turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan pasukan terutama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya atas sokongan dalam mendapatkan pengganti Machado.

“Ini termasuk juga kepada Pengurus Pasukan Sabah FC, Rafie Robert dan Pengurus Sabah FC II, Datuk Abdul Kassim Razali yang banyak membantu untuk mendapatkan khidmat pemain import baharu ini,”katanya.

Beliau menegaskan bahawa pasukan akan memastikan Duarte, 24, dapat menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan menjelang perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Likas, pada 15 Sept nanti.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan perlawanan persahabatan dalam tempoh rehat liga ketika ini untuk memulihkan momentum dan meningkatkan tahap kecergasan pemain selepas rehat panjang.

Mengulas mengenai kecederaan pemain, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pasukan perubatan bagi mempercepatkan proses pemulihan pemain utama seperti Gabriel Peres dan Saddil Ramdani.

“Kita masih ada empat minggu lagi untuk menentukan sama ada Peres dan Saddil boleh kembali beraksi. Keputusan akan dibuat berdasarkan keadaan mereka nanti,” kata Kim Swee.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan