WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, India Kukuhkan Hubungan Menerusi Pemeteraian Lapan MoU

20/08/2024 05:10 PM

Daripada V. Sankara

NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan India hari ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara mereka dengan pemeteraian lapan Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU itu meliputi pelbagai sektor termasuk pengambilan pekerja, perubatan tradisional, teknologi digital, budaya, pelancongan dan pentadbiran awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke India mulai Isnin dan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi, bersama-sama menyaksikan pemeterian MoU itu di Hyderabad House di sini.

Hyderabad House merupakan bangunan khas yang digunakan oleh Kerajaan India bagi penganjuran majlis-majlis rasmi negara, terutamanya mesyuarat peringkat tinggi dan jamuan yang melibatkan tetamu kenamaan asing.

MoU pertama adalah berkenaan pengambilan, penggajian, dan penghantaran pulang pekerja, yang menyaksikan saling pertukaran dokumen antara Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Menteri Luar India Dr S.Jaishankar.

MoU kedua pula berkaitan rawatan Ayurveda dan sistem perubatan tradisional lain, yang menyaksikan pertukaran dokumen antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Jaishankar, manakala yang ketiga berkaitan kerjasama dalam bidang teknologi digital antara Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Jaishankar.

MoU berhubung kerjasama pelancongan, serta kerjasama dalam bidang kebudayaan, seni dan warisan menyaksikan pertukaran dokumen antara Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Jaishankar.

MoU mengenai pentadbiran awam dan pembaharuan tadbir urus menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kementerian Luar India (Timur) Jaideep Mazumdar.

MoU kerjasama dalam bidang belia dan sukan sekali lagi menyaksikan pertukaran dokumen antara Mohamad Hasan dan Jaishankar, manakala MoU antara International Financial Services Centres Authority (IFSCA) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) melibatkan pertukaran dokumen antara Pengerusi LFSA Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzillah dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N.Reddy.

Pada majlis itu Pengerusi Bersama Forum CEO India-Malaysia Tan Sri Kuna Sittampalam menyampaikan Laporan Forum CEO India-Malaysia ke-2 kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perjanjian ini dijangka mengukuhkan lagi perkongsian strategik antara kedua-dua negara, memupuk kerjasama merentasi pelbagai bidang di samping mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan