WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Pastikan ASEAN Teraju Integrasi Serantau Dengan Kerjasama Rapat India, Rakan Dialog - PM Anwar

21/08/2024 12:54 AM

Daripada V.Sankara

NEW DELHI, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia yang memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan akan bekerjasama rapat dengan India dan Rakan Dialog yang lain, dan memastikan blok 10 negara anggota itu kekal di barisan hadapan dalam integrasi serantau, di samping terus menjadi penggerak untuk pembangunan mampan di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaku Rakan Dialog ASEAN sejak sekian lama, India dijangka memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat itu.

Beliau berkata perkongsian ASEAN-India memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan, dan pertukaran budaya di seluruh rantau ini.

“Kita melihat potensi besar dalam meningkatkan kerjasama ini, terutamanya ketika kita berusaha untuk menyelaras keutamaan ASEAN dengan inisiatif lebih luas yang menyokong Selatan Global,” katanya dalam syarahannya bertajuk “Menuju Selatan Global yang Meningkat: Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India” di Sapru House, Indian Council of World Affairs (ICWA) di sini Selasa. 

Sehubungan itu Anwar berkata Malaysia bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada pengukuhan mekanisme dan institusi ASEAN sedia ada, dan menjadikannya sesuai untuk tujuan itu, tetapi juga mencari sinergi dengan rangka kerja lain yang penting untuk pembangunan dan kemakmuran serantau.

Beliau berkata Malaysia juga merancang untuk meningkatkan penglibatan antara ASEAN dan Bay of Bengal Initiative for Multi-Sectoral Technical and Economic Cooperation (BIMSTEC), dan kerjasama ini bukan sahaja dijangka menghubungkan rantau ini, tetapi juga menyerlahkan cabaran dan keutamaan yang sering diabaikan.

Dalam mengejar matlamat ini, Perdana Menteri menekankan bahawa agenda Selatan Global mesti berpaksikan secara mendalam dalam norma dan nilai bersama, mencerminkan kepelbagaian luar biasa yang menjadi ciri-ciri rantau ini.

Selain India, rakan dialog ASEAN yang lain  termasuk Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan