BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pengertian 'Jiwa Merdeka' Warga PUSPEN

24/08/2024 10:16 AM

Oleh Shanika Abdullatib

ALOR GAJAH, 24 Ogos (Bernama) -- Jiwa Merdeka yang dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini memberikan inspirasi kepada penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tampin untuk membebaskan diri daripada belenggu penagihan dadah.

Bagi seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Khairul, 42, jiwa dan raga ‘merdeka’ daripada belenggu penagihan dadah itu akan dijadikannya sebagai titik tolak untuk memulakan hidup baharu dengan memanfaatkan segala kemahiran diperoleh sepanjang berada di Puspen.

"Saya sedang menghitung hari untuk keluar dari sini dan memang keazaman saya adalah untuk tidak lagi kembali ke jalan yang banyak menyusahkan diri dan orang di sekitar saya. Jadi, apa yang saya dapat di sini adalah tiket untuk memerdekakan diri dan minda saya dalam usaha membina kehidupan yang lebih baik," katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Musli, 48, berkata memerdekakan diri daripada stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya merupakan cabaran yang perlu dihadapi selepas keluar dari pusat tersebut. 

"Memang sukar membuang persepsi negatif bila dikaitkan dengan dadah tetapi saya akan buktikan yang saya mampu berubah, yang bukan saja merdeka minda tetapi juga (terhadap) anasir-anasir sekeliling yang akan membawa saya kembali ke jalan salah tersebut. Jadi ini cabaran buat saya untuk memastikan diri merdeka sepenuhnya daripada najis dadah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Latihan Vokasional Puspen Tampin Mohd Nor Azalizanshah Azman berkata pelbagai aktiviti dan program dirancang oleh pengurusan pusat itu untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam kalangan penghuni.

Beliau berkata antara aktiviti yang akan diadakan ialah perarakan Hari Kebangsaan melibatkan hampir 100 penghuni serta pegawai. 

"Memandangkan kawasan kita agak besar, jadi perarakan tersebut akan diadakan di dalam Puspen Tampin sendiri dengan jarak 2.5 kilometer dan perincian mengenainya masih kita lakukan dan inisiatif ini dibuat kerana tahun lepas kita tidak dapat melakukannya,” katanya.

Menurutnya Puspen Tampin akan turut menganjurkan Explore Race pada 9 Sept dan ceramah mengenai pemulihan dadah pada Hari Malaysia.

Mohd Nor Azalizanshah berkata kesemua aktiviti yang dirancang itu diharap dapat mendekatkan penghuni pusat itu dengan erti sambutan kemerdekaan termasuk menterjemahkan makna “Jiwa Merdeka”. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan