WILAYAH - UTARA > BERITA

Kepala Air: 19 Terperangkap Di Risda Eco Park Selamat

24/08/2024 10:01 AM

IPOH, 24 Ogos (Bernama) - - Seramai 19 individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air di Risda Eco Park Kg Ulu Slim berada dalam keadaan selamat, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak. 

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya kini dalam keadaan tunggu sedia (standby) susulan jambatan untuk ke pusat rekreasi itu runtuh.

"Mangsa terperangkap melibatkan 10 dewasa dan 9 kanak-kanak, kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dilaporkan selamat dan stabil menurut sumber daripada pengurus tempat rekreasi berkenaan," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata air sungai belum surut dan pihaknya menunggu sehingga keadaan selamat untuk bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira 800 meter dari jambatan berkenaan.

"Tiada akses lain untuk menyeberangi seterusnya ke lokasi kejadian. Trend air menurun namun arus masih deras," katanya. 

Terdahulu dilaporkan sekurang-kurangnya 109 individu terperangkap akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River di sini pada Jumaat. 

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata maklumat kejadian diterima pada 6.45 petang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Eco Park Risda, Ulu Slim.

Beliau berkata insiden kepala air berlaku di Kampung Sungai Bill disusuli tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim pecah berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim.

Kejadian itu juga mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan