DUNIA > BERITA

Robert F. Kennedy Jr. Tarik Diri Pilihan Raya Presiden AS, Sokong Donald Trump

24/08/2024 11:57 AM

WASHINGTON, 24 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Calon bebas pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), Robert F. Kennedy pada Jumaat mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan kempen jangka panjangnya untuk pemilihan presiden 2024, dan menyatakan sokongan kepada calon Republikan, Donald Trump, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Saya memberikan sokongan saya kepada Donald Trump," kata Kennedy dalam ucapan kepada negara dari Phoenix, Arizona di barat daya AS.

"Saya tidak lagi percaya bahawa saya mempunyai laluan realistik untuk mencapai kemenangan pilihan raya berdepan dengan penapisan sistematik yang berterusan dan kawalan media ini," katanya.

"Nama saya akan kekal di kertas undi di kebanyakan negeri. Jika anda tinggal di negeri yang dikuasai Demokrat, anda boleh mengundi saya tanpa menjejaskan atau membantu (bekas) Presiden Trump atau (calon Presiden Demokrat) Naib Presiden Harris," katanya.

Kennedy berkata beliau akan mengeluarkan namanya daripada kertas undi di kira-kira 10 negeri dan menggesa pengundi agar tidak mengundinya.

Menurut Kennedy, tiga isu utama menyebabkan beliau meninggalkan Parti Demokrat dan menyokong Presiden Trump adalah kebebasan bersuara, konflik di Ukraine, dan apa yang disifatkannya sebagai "perang ke atas kanak-kanak kita."

Pengumuman itu dibuat selepas gandingan Kennedy, Nicole Shanahan pada Selasa lepas menyatakan bahawa beliau "menyokong sepenuhnya" peranan untuk Kennedy dalam pentadbiran Trump pada masa hadapan.

Trump dijadual mengadakan perhimpunan di Glendale, Arizona pada Jumaat, hanya 20 minit dari Phoenix tempat Kennedy menyampaikan ucapannya.

Kennedy berasal daripada dinasti politik terkenal dengan nama yang sama, tetapi keluarganya menolak kempen politiknya, terganggu dengan pandangan peliknya seperti menentang vaksinasi.

Masih tidak jelas sama ada tindakan penyokong Kennedy menukar kesetiaan mereka kepada Trump akan memberi kesan ketara terhadap pilihan raya presiden pada 5 November ini.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan