WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perak Tamat Kemarau 10 Tahun Emas Hoki Lelaki

24/08/2024 01:52 PM

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Skuad hoki lelaki Perak menamatkan penantian 10 tahun pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi kali ini selepas menewaskan Pahang menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Negeri Sarawak di sini hari ini.

Pada aksi final, Perak di bawah kendalian Mohd Nizam Mohd Hashim bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali termasuk menjaringkan gol penyamaan di penghujung perlawanan untuk mengikat juara bertahan 3-3 sehingga tamat masa perlawanan sebenar untuk mengheret ke penentuan penalti.

Penjaga gol Perak Mohamad Rafaizul Mohamad Saini muncul wira apabila berjaya mematahkan tiga percubaan Pahang sekali gus mengesahkan kejayaan buat kontinjen Belang Tarung Tiga Warna.

Mohd Nizam yang ditemui pemberita memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya yang bermati-matian memastikan kemenangan berpihak kepada Perak biarpun pernah ketinggalan sebanyak dua kali.

“Daripada mula kejohanan saya tekankan kepada pemain bahawa mereka boleh dan mereka kena percaya dengan diri sendiri sepertimana yang kita lihat di separuh akhir dan final. Sehingga minit akhir mereka kekalkan disiplin perlawanan dan seterusnya berjaya menjaringkan gol penyamaan.

“Saya juga tekankan kepada pemain bahawa kemenangan ini sangat penting untuk membantu pembangunan hoki negeri Perak,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Rafaizul yang merupakan pemain remaja skuad kebangsaan berkata setiap pemain menunjukkan karakter dituntut jurulatih sepanjang perlawanan.

“Syukur dengan kemenangan di SUKMA 2024. Pertama sekali semua pemain mengikut apa yang jurulatih minta daripada suku pertama sampai habis perlawanan dan kita dapat habiskan dengan keputusan 3-3. Di penentuan penalti rezeki berpihak Perak.

“Dalam kepala saya (waktu penentuan penalti) apa yang ada depan saya, saya redah, saya seorang pejuang,” katanya yang membuat penampilan pertama dan terakhir di SUKMA kali ini.

Terdahulu, Pahang berada di depan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Handzalah Abdul Hadi sebelum Perak bangkit mendahului 2-1 hasil gol padang Muhammad Nur Iszlanshah Mohd Isa pada minit ke-15 dan pukulan sudut penalti Mohamad Zulhanif Sahran empat minit kemudian.

Pahang mengikat kedudukan 2-2 menerusi gol padang Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit ke-28 dan kembali mendahului perlawanan selepas Muhammad Arif Haikal Mohd Ross Iskandar meledak gol padang minit ke-33.

Pada minit akhir perlawanan, kerja keras Perak terbalas apabila berjaya menyamakan kedudukan 3-3 selepas Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar dengan tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pingat gangsa acara itu dimenangi Wilayah Persekutuan yang mengatasi Terengganu 3-2, semalam.

Terdahulu, Pahang mengekalkan kilauan emas dalam saingan wanita selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa permainan sebenar pada aksi final.

Pasukan hoki wanita Terengganu membawa pulang gangsa dengan menundukkan Pulau Pinang 2-1, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan