BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK DUN Mahkota: DAP Sedia Bantu Kempen Calon UMNO- Teo

24/08/2024 08:40 PM

KULAI, 24 Ogos (Bernama) -- DAP bersedia membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kluang, kata Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching.

Beliau berkata DAP khususnya Bahagian Kluang telah mengadakan mesyuarat pada Khamis lepas bagi membincangkan mengenai PRK tersebut termasuk membantu memenangkan calon BN dari UMNO. 

"Pendirian DAP sangat mudah, kami akan bantu BN khasnya UMNO untuk menang kerana ini adalah semangat yang telah terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kami juga sudah menyatakan kepada ahli DAP Kluang mengenai pandangan pemimpin bahawa kita perlu membantu rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan untuk menang kerusi ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Saringan Kesihatan Parlimen Kulai di sini hari ini. 

Teo yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual hadir mesyuarat antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor pada Isnin ini bagi membincangkan mengenai PRK DUN Mahkota itu.

"DUN Mahkota berada di bawah Parlimen Kluang yang disandang Wong Shu Qi iaitu wakil rakyat daripada DAP. Jadi PH dan DAP akan membantu dan buat yang terbaik untuk PRK Mahkota ini," kata Timbalan Menteri Komunikasi itu.

Pada Khamis lepas, Ahmad Zahid dilapor berkata UMNO pusat telah menerima senarai calon daripada UMNO Bahagian Kluang serta Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor bagi PRK DUN Mahkota dan akan mempertimbangkannya.

Presiden UMNO itu dipetik berkata pihaknya akan melakukan penilaian sebaiknya untuk memilih calon BN bagi PRK berkenaan. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika mewnerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan