BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2024: Asnawi Tambah Koleksi Emas Pelayaran

24/08/2024 08:35 PM

MIRI, 24 Ogos (Bernama) -- Atlet pelayaran Sabah Muhammad Asnawi Iqbal Adam kini mempunyai tiga koleksi pingat emas secara keseluruhan sepanjang penyertaannya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA).

Atlet berusia 18 tahun dari Kota Kinabalu itu meraih emas ketiganya dalam perlumbaan kategori ILCA 6 berlangsung di perairan Marina Bay di sini hari ini.

Muhammad Asnawi tiada tandingan apabila mengetuai perlumbaan 12 pusingan itu sejak daripada awal untuk mengutip 26 mata penalti keseluruhan meninggalkan lapan pelayar lain.

Terdahulu, pelayar kebangsaan itu meraih emas pertamanya di SUKMA 2018 menerusi Optimist berpasukan dan ILCA 4 pada edisi 2022.

“Saya tak jangka dapat emas ketiga ini walaupun bukanlah pencapaian tertinggi (SUKMA) tapi ia bermakna sebab saya harumkan nama Sabah.

“Ini semua juga atas motivasi keluarga yang tak henti berikan galakan daripada dulu sampai sekarang,  sampai sanggup datang jauh ke sini. Ini hadiah terbesar untuk mereka,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Asnawi berkata beliau berazam untuk memburu emas keempatnya pada penampilan terakhir SUKMA dua tahun lagi namun dalam kategori ILCA 7.

Pingat perak dan gangsa acara itu dimenangi Asmadi Azman dari Terengganu yang mengutip 44 mata penalti dan Muhammad Zafir Mohd Zailan dari Selangor (46.5 mata penalti).

Dalam pada itu, Kedah mendominasi saingan sukan pelayaran apabila meraih empat daripada 14 emas dipertandingkan menerusi Optimist berpasukan campuran, Optimist lelaki (Muhammad Hilfi Nafael Mohd Hasrizan), RS-One lelaki (Izry Hafiezy Fitry Azri) dan Optimist wanita Nur Aina Norhazram.

Terengganu dan Sabah masing-masing meraih tiga emas, tuan rumah dua emas manakala Selangor satu emas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan