WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPM Ahmad Zahid Mahu Menteri Pertahanan Pastikan Tiada Lagi Kes Buli Di UPNM

24/08/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memastikan supaya tidak berlaku lagi kes buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Beliau berkata tujuh tahun lepas negara dikejutkan dengan insiden buli membabitkan mahasiswa di UPNM sehingga menyebabkan kematian, dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Datuk Seri Khaled, UPNM di bawah Menteri Pertahanan, pastikan tidak lagi berlaku buli di UPNM,” kata Presiden UMNO itu dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Pada 23 Julai lepas Mahkamah Rayuan mendapati enam bekas penuntut UPNM bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ahmad Zahid berkata kes-kes buli itu melibatkan kes buli fizikal di sekolah dan pusat pengajian selain kes buli siber, dan berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sehingga 10 Julai lepas, secara purata 10 kes buli siber berlaku setiap hari.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk segera turun ke Slim River, Perak bagi membantu pembinaan semula jambatan yang roboh akibat banjir.

“Semalam berlaku banjir di Slim River, saya arahkan Angkatan Pertahanan Awam, NADMA dan Jawatankuasa Pengurusan Bencara Negeri untuk turun bagi memperbaiki empat jambatan yang runtuh dan membantu mangsa-mangsa banjir dengan seberapa segera yang boleh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan