WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mangsa Banjir Tidak Sempat Selamatkan Barang

24/08/2024 10:05 PM

TANJUNG MALIM, 24 Ogos (Bernama) -- Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Jamek Kampung Pasir di sini tidak sempat menyelamatkan barangan rumah kerana air naik dengan begitu cepat.

Seffee Hussain, 66, dari Kampung Pasir berkata air mula naik pada 6.30 petang dia hanya sempat menyelamatkan kereta dan dokumen penting.

"Barang-barang seperti televisyen, komputer riba, peti ais dan barang elektrik lain tidak dapat diselamatkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Seramai 128 mangsa banjir daripada 32 keluarga di Kampung Pasir dipindahkan ke PPS Masjid Jamek Kampung Pasir dan 32 mangsa daripada 11 keluarga di PPS Masjid Jamek Slim Village berikutan kejadian kepala air dan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting pecah di Kg Ulu Slim. 

Seffie berkata banjir kilat kerap berlaku di kampung itu namun kali ini paling teruk selepas kejadian banjir besar sebelum ini. 

"Mungkin punca banjir disebabkan ban sungai yang terletak berhampiran kampung itu terlalu rendah sehingga mengakibatkan air melimpah deras. 

"Dulu ban sungai agak tinggi jadi air tak masuk deras, apabila ban rendah dan pecah memang mudah air sungai masuk ke kawasan kampung," katanya. 

Sementara itu, Noyah Mahawi, 83, berkata dia juga tidak sempat menyelamatkan barang yang ada dalam rumah kerana air naik mendadak dalam masa setengah jam.  

"Sekarang saya dan penduduk kampung duduk di PPS tetapi kami amat berharap ada sukarelawan yang dapat bantu kami melakukan kerja pembersihan memandangkan rata-rata penduduk semua warga emas," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan