WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM2.35 Juta

24/08/2024 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas lebih 23.5 kilogram (kg) dadah jenis erimin 5 yang dianggar bernilai RM2.35 juta dalam Ops Landseer di ibu negara dan Johor, Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata pada hari tersebut berdasarkan risikan, polis menahan sebuah kereta Toyota Vios di sebuah kawasan kondominium di Jalan Klang Lama yang dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata polis menahan lelaki berumur 57 tahun itu selepas pemeriksaan keatas kereta berkenaan membawa kepada penemuan dadah jenis erimin 5 seberat 23.5 kg.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Tangkak, Johor dan menahan seorang lagi anggota sindiket yang berumur 45 tahun. Siasatan awal mendapati kumpulan ini menggunakan kereta sewa untuk mengedar dadah kepada pelanggan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khaw berkata awal mendapati kedua-dua suspek yang bergiat aktif sejak awal tahun ini turut positif dadah jenis methamphetamine dan masing-masing mempunyai tujuh serta enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah selain jenayah.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. 

“Tindakan juga diambil di bawah ADB (pelucuthakan harta) 1988 dan JSJN telah menyita dua kenderaan jenis Wira Aeroback serta Honda Civic yang dianggarkan bernilai RM41,800,” katanya.

Khaw berkata polid sedang memburu saki baki anggota sindiket itu, dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi polis dengan menelefon Hotline JSJN bernombor 012-208 7222 bagi membantu pihak berkuasa membanteras dadah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan