WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tanah Jerlus: Peniaga Pasar Malam Jalan TAR Lega Diberi Kebenaran Beroperasi

24/08/2024 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Peniaga pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini menarik nafas lega apabila sebilangan daripada mereka dibenarkan meneruskan operasi,  malam ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Jalan TAR Roslan Ghani berkata mereka hanya dimaklumkan tentang penutupan sementara operasi pasar malam di kawasan berhampiran Jalan Masjid India pagi tadi, susulan insiden kejadian tanah jerlus, semalam.

Ghani berkata walaupun kebanyakan peniaga sedar dengan kejadian itu, namun peniaga makanan telah pun menyiapkan bahan mentah dari awal dan jika tidak dibenarkan berniaga, sudah tentu ia akan menyebabkan kerugian.

"Hasil perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka hanya benarkan peniaga beroperasi jauh dari lokasi kejadian. Mereka minta kita (peniaga) kosongkan kawasan dari Jalan Masjid India hingga persimpangan Jalan Bunus," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Susulan itu, Roslan berkata hanya kira-kira 250 gerai yang berniaga makanan dibenarkan beroperasi bermula dari jalan bersebelahan pasar raya Semua House (Jalan Bunus) hingga ke Jalan Campbell.

Beliau berkata Pasar Malam Jalan TAR yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap hujung minggu itu selalunya beroperasi bermula dari Jalan Masjid India ke Jalan Campbell dengan melibatkan 567 gerai.

Dalam masa yang sama, katanya peniaga turut diingatkan untuk berhati-hati kerana dimaklumkan ada risiko keselamatan ketika usaha pencarian mangsa dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Sementara itu seorang peniaga Riduan Mohd Nor ,61, menarik nafas lega apabila diberikan kebenaran untuk meneruskan operasi perniagaan malam ini kerana bahan mentah sudah dibeli lebih awal.

"Saya berniaga nasi berlauk dan bahan mentah sudah beli, jika tidak dapat berniaga sudah tentu akan menyebabkan kerugian...setelah diberikan kebenaran, saya lega walaupun terpaksa mengubah tapak berniaga yang asal," katanya yang sudah 25 tahun berniaga di pasar malam Jalan TAR.

Tinjauan Bernama di Pasar Malam Jalan TAR mendapati masih terdapat pengunjung di kawasan tersebut namun bilangannya kurang berbanding sebelum kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Aktiviti perniagaan juga tertumpu kepada penjualan makanan berbanding sebelum ini pasar malam tersebut menawarkan pelbagai barangan antaranya pakaian dan pelbagai lagi.

Sementara itu, DBKL mengesahkan perniagaan yang berada berjauhan dari lokasi tanah jerlus itu diberikan kebenaran untuk beroperasi seperti biasa, namun kesemua peniaga diminta untuk berwaspada dengan keadaan semasa.

Semalam, media melaporkan mangsa tanah jerlus merupakan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh dalam lubang benam sedalam lapan meter dalam kejadian 8.22 pagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan