WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pesara Mengaku Tidak Salah Guna Dokumen Palsu, Salah Guna Harta Kesatuan

25/08/2024 06:09 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos (Bernama) -- Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan menyalahgunakan wang milik sebuah kesatuan berjumlah RM140,867.79, empat tahun lepas. 

Pengakuan Jafri Wahab, 58, yang juga bekas penolong pegawai kesihatan persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) direkodkan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Dia didakwa atas dua pertuduhan menggunakan dokumen penyata akaun bank atas nama Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) cawangan Terengganu bagi tempoh antara 2019 hingga 2020 berjumlah RM111,667.79 yang diketahuinya adalah palsu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 Jun 2020 di MBKT dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Dia juga berdepan 11 pertuduhan menyalahgunakan wang milik Tabung Kebajikan Anulae cawangan Terengganu berjumlah RM29,200 untuk kegunaan sendiri, semasa memegang jawatan sebagai bendahari kesatuan itu. 

Kesalahan berkenaan melibatkan transaksi antara RM200 dan RM6,000 dan didakwa dilakukan antara 15 Jan hingga 23 Julai 2020 di sebuah premis perbankan di sini. 

Bagi kesalahan berkenaan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga lima tahun, sebatan serta denda.

Peguam Mohd Asaari Salleh yang mewakili tertuduh merayu jaminan RM15,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri. 

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain dilarang menganggu saksi pendakwaan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Sept. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan