WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tentera Laut Uk Rampas Kokain Bernilai Us$53 Juta Di Laut Caribbean

25/08/2024 07:20 PM

LONDON, 25 Ogos (Bernama-dpa) -- Kokain dengan nilai pasaran melebihi £40 juta (US$53 juta) telah dirampas oleh sebuah kapal perang Tentera Laut Diraja Britain di Laut Caribbean, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tentera Laut Diraja berkata ia adalah rampasan dadah keenam yang dilakukan oleh HMS Trent pada 2024, dengan hampir tujuh tan dadah bernilai £551.5 juta telah dirampas daripada penyeludup.

Pegawai pemerintah HMS Trent Komander Tim Langford menyifatkan rampasan terbaru pada 8 Ogos itu sebagai "satu lagi tangkapan penting."

Bertindak atas maklumat, HMS Trent digerakkan dalam operasi terbaru itu di sekitar 120 batu nautika di selatan Republik Dominika.

Dalam operasi yang disertai sebuah pesawat rondaan maritim AS, kapal perang yang berpangkalan di Portsmouth itu segera menghampiri dan menghantar Marin Diraja Britain serta Pengawal Pantai AS untuk memintas bot laju yang disyaki menyeludup kokain.

Penyeludup bertindak membuang kargo mereka ke laut untuk mengelak semua barang seludup daripada dirampas.

Kira-kira 506 kilogram dadah kelas A telah dirampas, dan tiga penyeludup telah diserahkan kepada pihak berkuasa AS untuk pendakwaan.

HMS Trent yang telah bekerjasama rapat dengan Pengawal Pantai AS dan Pasukan Petugas Antara Agensi Bersama (South), kini telah merampas 6,995 kilogram dadah pada 2024.

Kapal itu masih melakukan rondaan di perairan Caribbean.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan